Wednesday, 18 April 2018

Entry No. 17


EKONOMI ISLAM DAN KONVENSIONAL: SUATU PENGENALAN



Assalamualaikum dan Salam sejahtera hari ini pok cik ingin berkongsi berkenaan pengenalan kepada ekonomi islam. Islam merupakan agama yang meyeluruh (syumul). Islam membahaskan bidang yang berkaitan isu-isu ekonomi bawah tajuk ‘muamalat’. Muamalat lebih luas daripada ekonomi. Muamalat berasal daripada perkataan arab yang dimelayukan daripada kata dasar ‘amal. Menurut Wikipedia (2011a) perkataan ‘work’ ditakrifkan sebagai melakukan sesuatu yang memerlukan buruh. Amal dalam Islam adalah meliputi semua perkara yang berkaitan hubungan dengan Pencipta (Allah swt), hubungan sesama manusia dan alam. Melakukan sesuatu perkara hanya dengan niat semata-mata kerana Allah swt merupakan satu amal yang ikhlas yang bersandarkan kepada aqidah yang benar. Sepertimana firman Allah swt dalam Al-Insan ayat 7-8 yang bermaksud:
            “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, kami sebenarnya takutkan Tuhan kami,- takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”.
            Konsep harta dalam Islam merupakan teras untuk hidup yang sepatutnya dicari dan dimanfaatkan demi keselesaan beribadat kepada Allah yang menjadi tujuan kepada penciptaan manusia. Harta pada asalnya sesuatu yang dimiliki daripada emas dan perak kemudian ditentukan kepada sesuatu yang dimiliki dari aset yang nyata. Apabila disebut ekonomi, maka secara langsung masyarakat akan mengaitkannya dengan harta. Walaupun begitu, ekonomi dapat dibahagikan kepada empat bahagian iaitu sains kekayaan, sains kebajikan material, sains kebajikan social dan sains pertumbuhan dan kestabilan. Ekonomi mengkaji berkaitan kekayaan dan pilihan serta kekurangan. Oleh itu ia dimaksudkan sebagai sains yang bertujuan untuk mempelopori kaedah-kaedah yang paling baik untuk memperuntukkan sumber-sumber yang terhad dengan tujuan memuaskan kehendak-kehendak manusia yang tidak terhad (Siti Rohani 1988).
            Muamalat lebih luas berbanding dengan ekonomi. Haji Mahsin Haji Mansor (1984) meletakkan bahawa muamalat sama dengan ekonomi. Beliau membahagikan ekonomi kepada tiga bahagian iaitu ekonomi politik kenegaraan, ekonomi perdagangan dan ekonomi kemasyarakatan. Sistem ekonomi Islam atau muamalat adalah berteraskan wahyu yang menetapkan keadilan bagi semua manusia. Keadilan ini bukanlah mengikut aturan manusia tetapi ianya adalah keadilan dari Allah swt. Menurut Dr. Ahmad Muhammad al-‘Assal dan Dr. Fathi Ahmad Abdul Karim, ciri-ciri ekonomi Islam adalah seperti berikut:
            Pertama, Ekonomi Islam merupakan sebahagian dari Islam. Ekonomi tidak terpisah dari Islam serta memiliki hubungan yang lengkap sama ada dari sudut akidah mahupun syariat. Hubungan ini menyebabkan ia mempunyai sifat ibadat dan ciri-ciri yang luhur.
I.        Ekonomi dalam Islam merupakan bersifat ibadat.
II.     Kegiatan ekonomi dalam Islam bercita-cita luhur.
III.  Pengawasan hati yang berasaskan ketaqwaan menjadi keutamaan.
Kedua, Ekonomi Islam mewujudkan keseimbangan antara kepentingan individu dan masyarakat. Berbeza dengan sistem ekonomi kapitalisme yang hanya menumpukan kemaslahatan individu. Manakala sistem ekonomi sosialisme hanya menumpukan kemaslahatan masyarakat sedangkan sistem ekonomi Islam mementingkan kedua-duanya. Islam mengiktiraf hak individu dan masyarakat selagi ia tidak bertentangan dengan syariat. Sekiranya berlaku pertentangan, maka Islam lebih mendahulukan kepentingan masyarakat.


SISTEM EKONOMI ISLAM DAN PERBANDINGANNYA DENGAN SISTEM EKONOMI KONVENSIONAL

Menurut Kamus Dewan konvensional adalah “berdasarkan konvensi, mengikut atau sebagaimana yang ditentukan oleh konvensi, sebagaimana kebiasaannya”. Konvensi pula ialah “sesuatu (seperti amalan, tingkah laku, ciri-ciri dan lain-lain) yang diiktiraf secara meluas dan dipatuhi (diikut), kebiasaan umum, apa sahaja yang diterima dan diamalkan secara meluas dan berterusan” (Teuku Iskandar et al. 1996)
Konvensional merupakan suatu perkara yang sudah diterima pakai dan dipraktikkan dalam sesebuah masyarakat. Apabila dikaitkan dengan ekonomi, sistem ekonomi konvensional merupakan sistem yang ditentukan oleh manusia serta tidak memiliki piawai yang mutlak tetapi bersifat anjal dan boleh berubah mengikut ketentuan masyarakat. Sistem ini juga sangat berbeza dengan Islam yang mempunyai piawai tetap bersumberkan wahyu termasuklah dalam bidang ekonomi.
Antara sistem ekonomi yang begitu berpengaruh adalah:
1.      Kapitalisme: Dikenali sebagai sistem perusahaan bebas yang mana seseorang berhak mengguna serta mengawal barang-barang ekonomi yang diperolehinya, menghalang orang lain daripada menggunakannya dan menentukan cara barang itu akan diuruskan setelah kematiannya. Individu bebas melakukan apa sahaja atas hartanya. Persaingan sebagai penggerak untuk menghasilkan operasi yang cekap. Persaingan kapitalis lebih hebat dan dibenarkan berbanding sistem ekonomi lain (Siti Rohani 1988).
2.      Sosialisme: Ketamakkan kapitalis yang luar biasa menyebabkan kezaliman dalam masyarakat. Ia juga menyebabkan ketegangan di Barat. Menerusi sistem ini, hak milik kerajaan ke atas sumber dihadkan kepada tanah dan modal yang digunakan dalam pengeluaran secara besar-besaran (Siti Rohani 1988).
3.      Komunisme: Sosialisme cuba untuk kembalikan kuasa ekonomi kepada golongan proletariat secara demokrasi dan sederhana (Mustafa 1991). Sistem komunis adalah sistem sosialis yang radikal dan satu doktrin politik yang diasaskan oleh Karl Marx. Semua tanah dan modal tidak kira asli atau buatan manusia sepenuhnya berada di tangan negara. Manakala rakyat akan mendapat pendapatan mengikut keperluan mereka dan bukan kebolehan (Siti Rohani 1988).
4.      Ekonomi Campuran: Terhasil dari sistem-sistem sebelumnya. Sistem ekonomi konvensional bukanlah sistem ekonomi yang tulen. Sistem komunis juga terdapat ciri-ciri kapitalis. Bawah sistem ekonomi campuran, hakmilik harta boleh berubah daripada hak individu secara mutlak menjadi hak milik negara sepenuhnya. Perniagaan kecil-kecilan dibiarkan untuk individu manakala perniagaan besar-besaran menjadi hakmilik negara dan dijalankan oleh negara (Siti Rohani 1988).
Perbezaan antara sistem ekonomi Islam dan konvensional secara asasnya adalah dari segi sumber berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Sumber lain dirujuk selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sedangkan konvensional mengambil apa sahaja sumber termasuk wahyu yang dianggap sesuai mengikut akal dan nafsu masing-masing sebarang ikatan dengan arahan wahyu. Halatuju sistem ekonomi Islam meletakkan kejayaan apabila individu dan masyarakat berjaya mendapat keredaan Allah swt dengan memperoleh kejayaan dunia dan akhirat. Sistem konvensional hanya mementingkan dunia dan bukan akhirat.


HARTA SEBAGAI WASILAH PEMBANGUNAN DALAM KONTEKS MAQASID SYAR’IYYAH

Fokus sebenar pembangunan tertumpu kepada  manusia, ini kerana tidak sekalipun perkataan pembangunan itu dikaitkan dengan insan atau manusia. Manusia merupakan sebaik-baik kejadian Allah swt serta layak digelar sebagai khalifah di muka bumi ini sepertimana firman Allah swt dalam Surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
Menurut Islam pembangunan adalah satu konsep yang komprehensif yang menggabungkan dunia dan akhirat supaya dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan sejahtera yang berterusan hingga ke akhirat. Ia juga memerlukan penguasaan aspek-aspek yang bersifat fizikal, tidak bersifat fizikal dan rohani. Penguasaan ini mestilah ilmu yang sememangnya menjadi kelebihan kepada manusia sehingga melayakkan mereka menjadi khalifah di muka bumi ini. Ilmu merupakan semua maklumat yang diperolehi dari apa sahaja sumber. Ilmu mendorong seseorang untuk mengetahui tindakan yang sepatutnya dilakukan dalam setiap situasi sesuai dengan perintah Allah swt seperti yang pernah disebut oleh Imam Syafie : “Ilmu itu cahaya dan tidak akan diberi kepada orang yang maksiat” (Mohd.Nor 2002). Usaha memprosesnya sehingga menjadi ilmu yang berguna memerlukan kepada petunjuk Allah swt. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw merupakan wahyu yang hakiki serta merupakan sumber yang jelas khususnya kepada umat Islam untuk menerangkan perkara asas dan menyusun masyarakat bagi membentuk suatu pembangunan yang seimbang dan mencapai al-falah. Akal yang diberikan oleh Allah swt menjadikan manusia bukan sekadar akur untuk beribadat kepada-Nya melalui Al-Quran dan Sunnah malah turut prihatin kepada setiap petunjuk sama ada bersifat suruhan kecil seperti doa ke tandas sehinggalah sebesar-besarnya atau tegahan yang kecil seperti makruh hinggalah kepada larangan terhadap dosa-dosa besar.
Maqasid Syar’iyyah diusahakan oleh sarjana-sarjana Islam seperti al-‘Izz ibn ‘Abd al-Salam, Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, Imam al-Syatibiy dan Abu Ishak Ibrahim bin Musa al-Malikiy (meninggal 790 Hijrah). Dalam kitab beliau yang terkenal ‘al-Muwafaqat’ beliau menggariskan mengenai al-maqasid yang terbahagi kepada dua iaitu Qasd al-Syari’ iaitu qasad/maksud Pencipta iaitu Allah swt dan Qasd al-Mukallaf iaitu qasad/maksud orang mukallaf (Mohamad Sabri 2005). Imam Syatibiy menjelaskan bahawa taklif syariat ialah untuk memelihara maqasid syar’iyyah manusia itu sendiri yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu al-Dharuriyyat bermaksud perkara yang mesti wujud bagi mewujudkan kebaikan-kebaikan terhadap agama dan dunia). Kedua ialah al-Hajiyyat bermaksud keperluan kepada perkara yang membawa kelegaan dan mampu menghilangkaan kesusahan dan kesulitan. Ketiga ialah al-Tahsiniyyat bermaksud mengambil perkara yang selayaknya menerusi kebaikan-kebaikan dan menjauhi perkara-perkara dipandang keji oleh akal. Menurut majority ulama Islam harta ialah sesuatu yang mempunyai nilai material di kalangan manusia yang diharuskan di sisi syariat untuk penggunaanya pada waktu susah dan senang (Mohamad Sabri 1999). Menurut Sa’id Hawwa jihad terbahagi kepada lima iaitu jihad lisan, jihad pendidikan, jihad dengan tangan dan jiwa, jihad siasah dan jihad harta. Dengan skim-skim yang ditawarkan melalui sistem perbankan Islam amat wajar umat Islam berfikir dan menggunakan peluang yang ada untuk mengukuhkan ekonomi individu dan masyarakat. Masyarakat Islam sendiri sepatutnya memberikan perhatian terhadap bank-bank dan intitusi-institusi Islam yang ada. Negara-negara Islam kini melihat bahawa Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam sistem kewangan Islam. Suatu hakikat yang wajar dikenal pasti ialah sikap umat Islam itu sendiri agarlebih bijaksana dan beraklak seperti yang ditegaskan melalui wahyu. Banyak kes kegagalan korporat menunjukkan puncanya adalah daripada kegagalan pengurusan pentadbiran yang baik (Ahmad Sarji 2005). Punca kegagalan berkaitan dengan tiadanya etika dan kebertanggungjawaban dalam menguruskan syarikat. Manakala kejayaan sesuatu yarikat adalah berdasarkan keazaman dan ahli-ahlinya yang berpandangan jauh. Pengabaian terhadap tanggungjawab adalah satu dosa yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang mensyukuri nikmat pemberian Allah swt dan menggunakannya secara berhemat dan bertanggungjawab terhadap hak-haknya.   



KONSEP JIHAD EKONOMI DAN AMALANNYA DI MALAYSIA

Jihad dari segi bahasa ialah daripada al-jahd yang bermakna kesukaran yang amat sangat dan perkataan al-juhd bermakna usaha dan tenaga. Menurut al-Naisaburiy jihad ialah membelanjakan segala usaha untuk mencapai sesuatu maksud. Ia juga bermaksud membelanjakan segala usaha berperang pada jalan Allah secara terus, melalui harta, akal fikiran, memperbanyakkan baju besi dan sebagainya (Haikal,1996). Jihad adalah mengumpulkan usaha dan tenaga untuk menentang orang-orang kafir dan menghadapi mereka dengan jiwa, harta dan lidah (Zuhailiy 1989). Sa’id Hawwa telah meletakkan persoalan jihad harta ini sebagai suatu jihad yang terkandung dalam semua jihad yang ada. Beliau juga telah mengkategorikan jihad kepada lima bahagian iaitu jihad lisan, jihad pendidikan, jihad dengan tangan dan jiwa, jihad siasah dan jihad harta.
            Akidah adalah teras dalam kehidupan umat Islam termasuklah ekonomi. Jihad ekonomi, jihad harta atau yang berkaitan dengannya seperti jihad bisnes merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Sebagaimana ketika zaman awal Islam Rasulullah saw membangunkan ekonomi masyarakat Islam dan membebaskan diri mereka dari ancaman Yahudi yang sejak dahulu lagi melakukan penindasan, memeras ugut, merompak dan sebagainya. Berikutan akidah yang mantap maka lahirlah pakar-pakar dalam bidang ekonomi seperti Abu Bakar r.a., Umar bin al-Khattab r.a., Uthman bin Affan r.a., dan Abdul Rahman bin Auf r.a. Sedangkan Baginda juga merupakan seorang peniaga yang mahir serta mampu memperoleh keuntungan yang berlipat kali ganda ketika memperdagangkan barangan milik Siti Khadijah. Baginda bersama para sahabat memboikot segala ekonomi yang berterakan riba dan penipuan. Masyarakat Islam ketika itu digalakkan untuk menghasilkan barangan keperluan harian mereka sendiri untuk dipasarkan bagi mengawal pengaliran wang agar mampu melumpuhkan ekonomi pihak musuh.
            Sistem Perbankan Islam bermaksud suatu sistem perbankan yang prinsip perjalanan dan amalannya berlandaskan hukum Islam atau syariah (Sudin Haron 1996) . Bank Islam moden bermula pada tahun 1963 setelah projek perintis berasaskan prinsip-prinsip perbankan Islam ditubuhkan di pekan Mit Ghamr di Mesir. Penubuhan bank ini adalah untuk membantera riba serta mengajar penduduk-penduduk mengenai kegunaan perbankan. Penubuhannya terpaksa diberhentikan kerana tidak mendapat sokongan dari pihak berkuasa Mesir (Ab.Mumin 1999). Seterusnya, Bank Islam pertama yang ditubuhkan ialah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang mula beroperasi pada Julai 1983 dengan sebuah cawangan di Kuala Lumpur. Kemudian bank ini disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Bursa Malaysia pada 17 Januari 1983. Sepertimana wujudnya Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad turut lahir atas faktor jihad oleh individu dan pertubuhan tertentu. Ia terhasil berikutan sikap masyarakat untuk bebas daripada belenggu riba serta maksiat kepada Allah swt. Malaysia telah dilihat sebagai model dalam sistem kewangan Islam serta diiktiraf oleh negara-negara Islam sebagai model untuk masa hadapan (Ab.Mumin 1999).


ETIKA USAHAWAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Usahawan diterjemahkan sebagai “entrepreneur” dalam bahasa Inggeris. Diterjemahkan dari perkataan Perancis “entreprendre” yang bermaksud memikul tugas atau mencuba. Usahawan merupakan individu yang melakukan suatu pembaharuan atau inovasi untuk kesejahteraan organisasinya sendiri (Schumpeter 1934). Terdapat beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh individu tersebut. Usahawan juga bukan sekadar seorang pengusaha yang terlibat dalam perniagaan semata-mata malahan juga merupakan seseorang yang memiliki daya kreatif sehingga mampu membuat pembaharuan atau inovasi dalam organisasi yang dipimpinnya agar mencapai kesejahteraan. Usahawan yang berjaya adalah mereka yang cenderung kea rah mengambil risiko serta memiliki kawalan dalaman yang tinggi.
            Allah swt meletakkan kejayaan itu bukan hanya kejayaan di dunia tetapi kejayaan yang sebenar iaitu perniagaan yang mampu menyelamatkan manusia dari api neraka Allah swt di akhirat nanti sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Saf ayat 10 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang Yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.
            Secara realitinya, manusia itu sendiri tidak boleh dipisahkan daripada perniagaan tidak kira sama ada seseorang itu bergelar usahawan atau tidak. Pengguna biasa juga tidak boleh mengelakkan diri dari terlibat dengan apa-apa urusan perniagaan kerana untuk memperoleh keperluan harian. Risiko merupakan sesuatu yang akan memberi kerugian kepada usahawan akan tetapi lebih berisiko sekiranya seseorang usahawan itu ditimpa azab oleh Allah sekiranya mereka mengabaikan beberapa perkara antaranya beriman kepada Allah dan RasulNya, membela dan menegakkan agama Allah dengan harta dan diri, sering membaca kitab Allah, sentiasa mendirikan solat dan menderma secara sembunyi atau nyata.
            Terdapat peruntukan khas yang besar digunakan untuk tujuan promosi bagi golongan konvensional. Promosi adalah bertujuan untuk memperoleh kembali pulangan apa yang telah dikeluarkan. Sedangkan dalam Islam pula, kita sewajarnya berkongsi nikmat yang kita perolehi dari Allah swt kepada orang lain kerana Allah akan membalasnya dengan pelbagai bentuk nikmat antaranya dalam bentuk ilham, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan banyak lagi. Segala yang dilakukan oleh usahawan muslim adalah mengharapkan ganjaran dari Allah semata-mata agar mendapat hidup yang selesa di akhirat kelak.
            Menurut Islam, usahawan yang berjaya adalah mereka yang menginfakkan hartanya di jalan Allah dan bukan diukur dari sudut pendapatannya sahaja. Pengorbanan jiwa dan masa yang disumbangkan turut dinilai sebagai infak di jalan Allah swt. Usahawan yang kreatif pastinya akan mengembangkan potensinya untuk para pekerjanya yang sudah tentu akan memberikan saham di akhirat. Pekerjaan sebagai usahawan jika dilakukan dengan ikhlas dan menepati syariat semestinya mempunyai banyak kebaikan. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi dengan status hadis hasan iaitu, orang yang seperti ini layak bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada’ (Mohamad Sabri 1999).

           
ETIKA URUSNIAGA DALAM ISLAM

Sistem Islam dibangunkan di atas prinsip tauhid yang mementingkan keredaan Allah swt serta keredaan manusia yang selari dengan landasan syariat yang telah digariskan oleh Allah swt begitu juga dengan ekonomi Islam. Terdapat garis panduan bagi memastikan sistem ekonomi tersebut teratur, seimbang dan mendapat keredaan Allah swt serta memberikan kebahagiaan kepada manusia memandangkan sistem ekonomi Islam berbeza dengan sistem ekonomi konvensional.
            Prinsip-prinsip asas ekonomi Islam ialah:
I.        Harta merupakan hak Allah swt: Perkara ini merupakan rukun asasi dalam akidah muslim seperti firman Allah swt dalam surah al-‘Imran yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki”. Dasar kebebasan manusia sebagai khalifah di bumi ini terkandung menerusi amalan pemikiran bagi mencari pendekatan kaedah-kaedah pelaburan, penggunaan sumber alam dan usaha dalam batas-batas yang diredai Allah swt.
II.     Aktiviti ekonomi suatu ibadat: Islam memberi penekanan dari segi pekerjaan dan menyeru manusia agar bekerja bagi menghasilkan kesenangan dunia dan akhirat. Aktiviti ekonomi termasuklah aktiviti pasar merupakan suatu ibadat. Umar al-Khattab berkata: “Tidak ada seseorang rakyat yang datang kepadaku lalu ia meninggal, lebih aku cintai melainkan yang berurusan jualbeli denganku untuk keperluan kaum keluargaku” (Yusuf 1988). Al-Qurtubiy dalam tafsirannya mengenai surah as-Saf (61:10-12) menyifatkan perniagaan sebagai suatu jihad.
III.  Asal sesuatu adalah harus: Sesuatu perkara tidak diharamkan kecuali jika ada nas yang menjelaskannya kerana asal ciptaan Allah swt terhadap sesuatu adalah halal dan harus (Mohamad Sabri 1999).

IV.  Ur’f dan Adat adalah transaksi: Ur’f merupakan adat yang dipraktikkan di kalangan manusia, manakala adat yang khas bagi individu tidak dinamakan ur’f. Adat dan ur’f memiliki maksud yang sama tetapi ahli usul dan ahli fiqh menentukan bahawa ur’f lebih umum (al-Zarqa’ 1968).  
V.    Mencapai maslahat Khas dan Am: Maslahah individu dan masyarakat amat diutamakan kerana dengan kaedah ini membezakan antara kapitalis, sosialis dan komunis (al-Fanjari 1980). Maslahah umum lebih diutamakan sekiranya bertentangan dengan maslahah individu.
VI.  Mengetahui hukum: Individu yang ingin bermuamalat mestilah mengetahui hukum dari segi halal dan haram serta menepati syarat yang ditentukan. Seseorang yang berurusan dalam bidang ekonomi sekurang-kurangnya dapat mengetahui hukum yang lahirnya diketahui oleh orang ramai (al-Nawawi 1985).
Muamalat dalam Islam mementingkan keredaan Allah swt. Malahan keredaan sesama manusia menjadi tuntutan dan selari dengan kehendak Allah swt. Terdapat tiga aspek yang ditekankan berkaitan etika atau dalam konteks Islam dikenali sebagai akhlak. Aspek pertama berkaitan asas syariat dari segi tuntutan dan larangan. Aspek kedua berkaitan dengan penjual dan pembeli sama ada bersikap husnudzon atau su’udzon dalam urusan perniagaan. Aspek ketiga mengenai barang yang diniagakan dari segi tuntutan sama ada barang wujud semasa jual beli atau sebaliknya, mengenai harga barang dagangan dan sebagainya. Bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat tidak sepatutnya masyarakat mengabaikan keredaan Allah swt dalam apa jua amalan yang dilakukan.



No comments:

Post a Comment

Entry No. 28

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA 1. MAKAN DAN MINUM DENGAN SENGAJA MAKAN DAN MINUM SECARA SENGAJA. NAMUN, SESIAPA YANG MAKAN A...