PEMILIHAN CAT-CAT YANG SESUAI UNTUK MURAL
4/3/2018, Ahad, Salam Sejahtera, Hari ini Pok Cik nak berkongsi sedikit dengan para pembaca mengenai cara pemilihan cat-cat mural supaya mural yang dihasilkan tahan lama dan menarik.
Melukis mural di tembok dan dinding merupakan alternatif sempurna daripada menggunakan wallpaper. Dalam proses penghasilan mural, aspek pemilihan cat perlu di titik beratkan agar tidak berlaku sebarang kecacatan pada mural yang bakal dihasilkan.
Sehebat mana lukisan yang dihasilkan jika menggunakan media yang tidak sesuai dengan permukaannya sudah pasti ia tidak akan tahan lama dan akan dimamah usia. Disini terdapat beberapa alternatif pemilihan cat yang sesuai digunakan untuk mural:-
1) Cat Dasar untuk Melukis Dinding (CAT LATEX)
Untuk menghasilkan mural yang menarik serta mampu menarik perhatian umum adalah dengan memilih cat dasar yang sesuai. Kebiasaannya cat dasar yang selalu digunakan adalah berwarna putih bertujuan memastikan warna yang akan disapu pada permukaan kemudiannya lebih sempurna dan rata tanpa perlu lapisan yang banyak.
Kelebihan menggunakan cat ini adalah tempoh masa pengeringannya yang pantas dan tidak mudah mengelupas serta menjadikan cat ini material ideal untuk dijadikan cat dasar lukisan mural.
2) Cat Akrilik (terbaik untuk mural)
Cat Akrilik digunakan pada saat melukis objek atau imej utama mural kerana cat akrilik mudah untuk dikawal serta mudah untuk dicampur dan diratakan pada permukaan dinding.
Untuk menghasilkan mural yang mempunyai pelbagai warna, cat ini memang sesuai digunakan kerana memiliki pilihan pigment warna yang pelbagai dari warna asas sehingga warna yang jarang dihasilkan.
Sifat cat ini yang mudah kering serta kalis air membuatkan mural lebih tahan lama serta mampu menimbulkan warna-warna yang terang dan menarik seterusnya memberi penegasan terhadap mural yang dihasilkan.
3) Cat Varnish (Cat Penutup)
Fungsi utama cat ini adalah untuk memastikan angka hayat mural lebih lama kerana sifat cat ini yang kalis air dan meningkatkan lagi kualiti dan warna mural yang dihasilkan.
Cat ini digelar cat penutup kerana sering digunakan pada hujung proses penghasilan mural dan digunakan untuk mematikan warna supaya apabila terdedah kepada cuaca mendap atau air hujan cat tidak mudah terhakis dan mural mampu bertahan dengan lebih lama.
Setakat itu sahaja perkongsian pok cik pada hari ini semoga maklumat ini membantu pembaca blog ini :) Terima Kasih.




No comments:
Post a Comment