TEKNIK-TEKNIK
SERVIS BADMINTON
Badminton merupakan
sejenis sukan yang menggunakan raket dan bulu tangkis. Sukan ini dimainkan oleh
dua orang pemain secara bertentangan (perseorangan) ataupun dua pasangan secara
bertentangan (beregu), di mana mereka dibahagikan oleh jaring dalam sebuah
gelanggang bersegi empat tepat. Pukulan bulu tangkis dilakukan dengan
menggunakan raket secara berterusan antara dua pihak. Pukulan ini berhenti
selepas bulu tangkis jatuh di atas lantai dan ini menjadikan pihak yang
menjatuhkannya di kawasan pihak lawannya itu memungut satu mata. Bulu tangkis
hanya boleh dipukul sekali sebelum melepasi jaring ke kawasan pihak lawan dan
hanya boleh dipukul ke kawasan tertentu sahaja dalam gelanggang.
Badminton ialah acara sukan Olimpik
dengan lima disipin yang kompetitif iaitu perseorangan lelaki dan wanita,
beregu lelaki dan wanita, dan beregu campuran (di mana setiap pasangannya terdiri
daripada seorang lelaki dan seorang perempuan). Bagi tahap yang lebih tinggi,
sukan ini memerlukan penjagaan kesihatan pemain yang cemerlang, stamina
aerobik, ketangkasan, kekuatan, kelajuan, dan ketelitian. Badminton juga merupakan
sebuah sukan teknikal yang memerlukan koordinasi badan yang baik, kemahiran
teknikal, dan kecekapan penggunaan raket.
Di Malaysia, sukan badminton sangat
popular seperti sukan bola sepak. Walaupun kedua-dua sukan ini mementingkan
ketangkasan dan stamina, sukan badminton berbeza dengan permainan bola sepak
kerana badminton memiliki gerak dominan antara lengan dan kaki. Hanya gerakan
tertentu sahaja yang menjadikan teknik-teknik tertentu dapat dimainkan dengan
lancar menggunakan bulu tangkis dan
raket. Oleh itu, pemain badminton dilatih untuk menyesuaikan diri dengan gerak
kaki yang dipadankan dengan cara pukulan yang sesuai pada setiap kedudukan
gelanggang. Bagi pemain yang berdominan pada tangan kanan, setiap perjalanan
dimulakan dengan kaki kanan dari tengah gelanggang ke dua sisi jaring, dua sisi
tengah gelanggang dan dua hujung gelanggang.
Tujuan utama permainan ini adalah untuk mengumpul mata sehingga
21 mata. Pemain dikira menang sesuatu perlawanan sekiranya dia mencapai 21
terlebih dahulu. Untuk menguasai kemahiran badminton, setiap pemain harus
memiliki beberapa keterampilan dasar melakukan servis menggunakan bulu tangkis.
Berikut merupakan beberapa teknik servis yang harus dikuasai oleh setiap pemain
badminton.
2.0 JENIS KEMAHIRAN SERVIS BADMINTON
Servis merupakan salah satu teknik
yang penting dalam permainan badminton kerana servis yang berkualiti bukan
sahaja memberikan permulaan yang baik kepada permainan malahan akan
meningkatkan kebarangkalian untuk memungut mata. Oleh itu, teknik-teknik servis
ini harus dikuasai dengan baik agar setiap servis dilakukan dengan konsisten
dan tepat.
Terdapat pelbagai cara untuk
melakukan servis. Namun begitu, empat jenis servis yang biasa digunakan ialah pukulan
servis tinggi, pukulan servis flik, pukulan servis kilas dan pukulan servis
rendah.
2.0.1 Pukulan
Servis Tinggi
Servis ini dilakukan dengan pukulan
yang keras dan bulu tangkis diusahakan untuk berjalan melambung tinggi dan
jatuh di bahagian belakang gelanggang. Servis tinggi hanya boleh dilakukan
secara forehand kerana kekuatan backhand tidak berupaya untuk memberi
kesan servis yang baik.
Servis tinggi yang baik adalah
apabila bulu tangkis jatuh menjunam di kawasan di antara garisan servis tinggi
perseorangan (garisan sempadan belakang) dan garisan servis tinggi beregu. Ini
mengelirukan pihak lawan kerana dia perlu menganggar sama ada bulu tangkis
jatuh di dalam kotak belakang gelanggang atau ke kawasan sebelum garisan
gelanggang. Kesannya, servis ini juga boleh mengelakkan pihak lawan daripada
membalas servis dengan smash yang
keras (kecuali bagi pemain yang berupaya untuk melakukan jump smash) atau bermain di jaring. Anda juga digalakkan untuk
membuat servis ke bahagian backhand
pemain lawan untuk memaksanya menggunakan pukulan backhand yang lazimnya akan lebih lemah daripada pukulan forehand walaupun bagi pemain-pemain
berkelas dunia.
Kemahiran servis tinggi biasanya digunakan
dalam permainan perseorangan. Selain menyukarkan pemain melakukan serangan,
tujuannya juga adalah untuk memudahkan serangan anda kerana gelanggang sebelah
hadapan pihak lawan terdedah. Akan tetapi, anda dinasihatkan supaya tidak kerap
menggunakan teknik servis ini kerana pemain lawan akan mengambil langkah
berjaga-jaga untuk bersedia di bahagian belakang.
Langkah-langkah melakukan pukulan servis tinggi:
1. Berdiri
dalam petak servis.
2. Pegang
raket dengan teknik pegang forehand.
3. Beratkan
badan pada kaki belakang.
4. Memegang
bulu tangkis dengan sebelah tangan.
5. Ayun
tangan ke hadapan sambil melepaskan bulu tangkis.
6. Pastikan
bulu tangkis menyentuh pada bahagian muka raket.
7. Pindahkan
berat badan ke kaki hadapan.
2.0.3 Pukulan
Servis Kilas
Selain pukulan servis tinggi dan
pukulan servis rendah, pukulan servis kilas turut diperkenalkan dalam permainan
badminton. Teknik pukulan servis kilas ini digunakan dalam permainan beregu dan juga perseorangan. Namun,
kebiasaannya kemahiran servis ini lebih kerap digunakan dalam permainan beregu.
Secara umumnya, teknik servis kilas
ini merupakan satu variasi kepada servis rendah forehand. Penggunaan teknik servis ini sebenarnya bertujuan untuk
bertahan daripada serangan pihak lawan. Dalam memantapkan kemahiran servis
dalam permainan badminton, teknik utama kemahiran servis ini dilakukan dengan
memegang raket secara kilas.
1.
Dalam peringkat permulaannya, pemain perlu
berdiri dalam keadaan bersedia dalam
petak servis.
2.
Pemain dikehendaki memegang raket mengikut
teknik pegang kilas iaitu dengan meletakkan raket pada bahagian hadapan
badan dan siku. Tangan yang memegang raket menghala ke garisan tepi dan kepala
raket dihalakan ke bawah di hadapan kaki kiri.
3.
Pemain perlu memegang bulu tangkis separas
pinggang dan hampir bahagian muka raket.
4.
Berat badan pemain dikehendaki berada di
kaki hadapan.
5.
Pemain melakukan pukulan dengan pergerakan
kilasan pergelangan tangan.
Servis Flik (Forehand)
Peringatan apabila melakukan servis flik (forehand):
1.
Pastikan bulu tangkis benar-benar
rendah dan pantas.
2. Jika pemain lawan berada di bahagian
hadapan kawasannya semasa menerima servis, tolakkan bulu tangkis supaya bulu
tangkis melepasi kepala pemain berkenaan.
3.
Kedudukan pembuat servis adalah sama
seperti kedudukan dalam servis rendah.
4. Apa yang penting ialah keupayaan
pembuat servis menempatkan bulu tangkis ke merata bahagian dalam kawasan
permainan lawan.
Servis Flik (Backhand)
Peringatan apabila melakukan servis flik (backhand):
1.
Bulu tangkis dipegang di hadapan
pembuat servis.
2.
Kedudukan raket adalah di sisi badan
pemain dengan permukaannya menghala ke depan.
3.
Pukulan servis ini yang agak pantas melajukan
pergerakan bulu tangkis, tetapi jarak penerbangannya adalah lebih jauh daripada
servis kilas.
4. Anda dinasihatkan untuk mengarahkan
bulu tangkis hampir ke garis tengah kawasan permainan lawan atau mana-mana
kawasan yang agak sukar untuk servis lain.
5.
Kedudukan bulu tangkis di tangan
pembuat servis boleh dilakukan dalam berbagai-bagai cara seperti terbalik,
mengiring atau kedudukan biasa .
3.0 KESALAHAN SERVIS
Setiap sukan pasti mempunyai
kesalahan-kesalahan yang boleh membatalkan perlawanan tersebut, begitu juga
dalam sukan badminton. Dalam melakukan servis badminton, kesalahan boleh
berlaku tanpa disedari. Berikut merupakan kesalahan-kesalahan yang sering
dilakukan oleh pemain:
3.0.1 Kesalahan semasa Memukul dalam Melakukan
Servis
1. Ketika
memukul bola tangkis, kepala raket didapati lebih tinggi atau sejajar dengan grip raket.
3. Bulu
tangkis tidak dipukul pada dasarnya yang berlapik getah pada saat-saat
persentuhan.
4. Bulu
tangkis terlepas daripada pukulan servis atau tidak dipukul melepasi jaring.
3.0.2 Kesalahan
Posisi Badan dan Pergerakan Kaki serta Tangan semasa Melakukan Servis
1. Posisi
kaki memijak garis tengah dan hadapan.
2. Kaki
kiri tidak berada di hadapan apabila melakukan servis tinggi, servis rendah dan
servis flik (forehand).
3. Kaki
kanan melangkah sebelum bulu tangkis dipukul.
4. Rangkaian
gerak mengayun raket dan memukul bulu tangkis terputus.
5. Kaki
dan badan sejajar dengan jaring mengakibatkan pukulan tidak tepat ke kotak
penerima servis yang betul.
6. Pada
kedudukan bersedia, tumpuan kaki tidak berada di bahagian depan atas kaki.
Akibatnya, reaksi akan menjadi lambat.
7. Posisi
lutut dan peha lurus dan tidak bengkok menyukarkan proses servis dan
menyebabkan pemain servis lambat kembali ke tengah gelanggang.
3.0.3 Kesalahan
Servis Kilas dan Servis Flik (Backhand)
1. Pemain
memegang raket dengan menggenggam, jari-jari rapat dan sejajar.
2. Posisi
‘V’ tangan berada pada bahagian grip raket yang lebar.
3. Kaki
kanan tidak berada di hadapan apabila melakukan servis kilas dan servis flik (backhand) dan mengganggu keseimbangan
kaki untuk mengarahkan bola dengan tepat.
4. Servis
kilas yang terlalu tinggi di atas jaring sehingga membuka ruang bagi lawan
untuk memukul bola.
3.0.4 Kesalahan
Servis dalam Perlawanan
1. Servis
tidak dilakukan secara pepenjuru di mana bulu tangkis jatuh ke kotak depan yang
bertentangan dengan pemain servis, dan bukannya kotak di sebelahnya.
2. Dalam
perlawanan perseorangan mahupun beregu, pemain servis tidak melakukan servis
pada kotak kanan apabila pihaknya sudah memungut markah genap dan tidak membuat
servis pada kotak kiri apabila pihaknya sudah memungut markah ganjil.
3. Dalam
perlawanan perseorangan mahupun beregu, pihak yang memungut markah daripada rally sebelum ini tidak memulakan servis.
4. Dalam
perlawanan beregu, penerima servis tidak dapat membalas servis flik yang tinggi
dan servis tersebut dibalas oleh pasangannya yang berada pada kedudukan
belakang.
5. Pemain
melakukan servis apabila penerima servis memberi isyarat bahawa dia belum bersedia
lagi.
RUMUSAN
Kesimpulannya, sukan badminton
bukanlah sekadar sukan yang menghayunkan raket badminton dan memberikan bola
tangkis kepada pihak lawan, tetapi realitinya lebih daripada itu. Sukan
badminton adalah sejenis sukan yang sudah lama berkecimpung di negara kita
malahan juga merupakan sukan yang digemari di seluruh dunia. Berdasarkan hasil
kajian, dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa jenis servis yang diperlukan
dalam permainan badminton. Servis-servis yang dinyatakan dalam hasil kajian
seperti pukulan servis tinggi, pukulan servis rendah, pukulan servis kilas dan
pukulan servis flik dapat membantu pemain sewaktu dalam pertandingan.
Servis-servis ini perlu dikuasai dengan baik bagi mengelakkan berlakunya
kesalahan ketika perlawanan badminton sedang berlangsung. Sekiranya
pemain-pemain dapat menguasai teknik-teknik ini dengan baik, maka pemain akan
mampu menghasilkan servis yang berkualiti. Namun begitu, untuk menjadi seorang
pemain badminton yang mahir, penguasaan teknik tidak hanya tertumpu kepada
teknik servis. Kemahiran-kemahiran asas yang lain seperti teknik pegangan
raket, gerak kaki, pukulan forehand
dan backhand, smash, drop shot dan juga
teknik permainan di jaring turut diperlukan dalam sukan badminton.
No comments:
Post a Comment